Assalamualaikum w.b.t
Segala puji-pujian hanyalah bagi Allah, Rabb sekalian alam dan ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Entry kali ini, marilah sama-sama kita menyelak kembali lembaran sirah kita. Yang di dalamnya terdapat sosok peribadi yang hebat. Jika tiada sosok-sosok ini, tidak akan generasi ini digelar khairul ummah sebaik-baik kelompok manusia. Keperibadian mereka yang mahu kita jadikan contoh dan sebagai tanda aras untuk memperbaiki diri. Sirah ini berkaitan ABU ‘UBAIDAH BIN JARRAH. Mungkin nama sahabat ini biasa kita dengar tetapi dalam fikiran kita berlegar-legar pertanyaan, “Sirah sahabat ini berkaitan apa?” Jadi marilah kita meluangkan sedikit masa yang ada dan menyemak kembali sirah ini. Moga manfaatnya dapat kita kutip.
Wajahnya selalu berseri. Matanya bersinar. Tubuhnya tinggi kurus. Bidang bahunya kecil. Dia seorang yang ramah-tamah, lemah-lembut, tawadhu’ dan sangat pemalu. Tetapi apabila mengahadapi suatu urusan penting, beliau sangat cekap bagaikan singa jantan bertemu musuh. Beliaulah kepercayaan ummat Muhammad. Nama penuhnya ‘Amir bin ‘Abdillah bin Jarrah Al- Fihry Al- Quraisy.
Abdullah bin Umar pernah bercerita tentang sifat-sifat beliau yang mulia. Katanya, “Ada 3 orang Quraisy yang sangat cemerlang wajahnya, tinggi akhlaknya dan sangat pemalu. Bila berbicara, mereka tidak pernah dusta. Dan apabila orang berbicara kepada mereka, mereka tidak cepat-cepat mendustakan. Mereka ialah, Abu Bakar assiddiq, Utsman bin ‘Affan, dan Abu ‘Ubaidah bin Jarrah.”
Abu ‘Ubaidah antara kelompok pertama yang masuk Islam. Beliau Islam di tangan Abu Bakar, sehari sesudah Abu Bakar masuk Islam. Jadi, beliau juga merupakan salah satu daripada tiang-tiang dalam pembentukan awal Islam. Abu ‘Ubaidah juga ikut berperang dalam perang Badar. Beliau menyusup ke dalam barisan lawan tanpa gentar lalu tentera berkuda musyrikin mengejar beliau ke mana sahaja beliau pergi. Terutama seorang lelaki ini, dia mengejar Abu ‘Ubaidah ke mana sahaja beliau pergi. Tetapi Abu ‘Ubaidah pula sebaliknya, cuba mengelak serangan lelaki tersebut. Lelaki trsebut terus mengejar beliau sehingga Abu ‘Ubaidah terperangkap. Beliau pun bersiap-siaga melawan lelaki tersebut dan apabila tiba waktu yang sesuai beliau mengayunkan pedang dan lelaki terbabit berjaya beliau bunuh.
Pasti cerita ini menarik perhatian kita. Siapkah lelaki itu? Mengapa Abu ‘Ubaidah mengelak dari berlawan dengannya? Kita pasti terkejut kerana jawapannya, lelaki yang dibunuh oleh Abu ‘Ubaidah ialah bapa kandungnya sendiri, Abdullah bin Jarrah. Mungkin ada sebahagian yang akan berkata, tidak berperikemanusiaan kerana membunuh bapa sendiri. Tapi kita harus ingat Abu ‘Ubaidah sudah cuba sedaya-upaya mengelak dari berlawan dengan ayahnya dan tindakan kaum musyrikin terhadap muslimin telah melampaui batas. Dan sebenarnya Abu ‘Ubaidah bukanlah membunuh bapanya tetapi, kemusyrikan yang bersarang di hati bapanya. Mengenai kejadian ini, Allah telah berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 22:
“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya; sekalipun orang-orang itu bapa-bapa atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah ridha kepada mereka dan mereka pun puas terhadap(limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah bahawa golongan Allah itu ialah golongan yag beruntung.”
Kisah lain yang berkaitan Abu Ubaidah adalah gelaran beliau iaitu orang yang terpercaya. Muhammad bin Ja’far menceritakan, “Pada suatu ketika, para utusan Nasrani datang menghadap Rasulullah. Kata mereka, “ Ya Aba Qasim! Kirimlah bersama kami seorang sahabat anda yang anda kira pada pandangan anda dapat menjadi hakim tentang harta yang kami perselisihkan sesama kami. Kami senang menerima putusan dari kaum muslimin.” Jawab Rasulullah, “Datanglah nanti petang, saya akanmengirim kalian “orang kuat yang terpercaya”.”
Kata Umar bin Khattab, “Saya pergi solat awal daripada biasa. Saya tidak ingin tugas itu diserahkan kepada orang lain, kerana saya mahu mendapatkan gelaran “orang kuat yang terpercaya”.Sesudah solat Zuhur, Rasulullah melihat ke kanan dank e kiri. Saya agak menonjolkan diri,supaya Rasullah dapat melihat saya.Tetapi baginda tidak melihat ke arah kami, tetapi setelah baginda melihat Abu ‘Ubaidah, baginda berkata kepadanya, “Pergilah engkau bersama mereka. Dan adililah dengan baik perkara yang mereka perselisihkan. Maka pergilah Abu ‘Ubaidah dengan para utusan Nasrani tersebut, menyandang gelaran, “orang kuat yang tepercaya”.
Dalam musyawarah pemilihan khalifah yang pertama (Yaumul a-saqifah), Umar bin Khattab mengulurkan tangannya kepada Abu ‘Ubaidah seraya berkata, “Saya memilih anda dan bersumpah setia dengan anda. Kerana saya pernah mendengar Rasulullah s.qa.w bersabda,
“Sesungguhnya tiap-tiap ummat mempunyai orang yang dipercayai. Orang yang paling dipercayai dari ummat ini adalah Anda (Abu ‘Ubaidah).”
Jawab Abu ‘Ubaidah, “Saya tidak mahu mendahului orang yang pernah disuruh Rasulullah untuk mengimami kita solat sewaktu baginda hidup(Abu Bakar) . Walaupun baginda telah wafat, mari kita imamkan juga Abu Bakar”.
Akhirnya mereka sepakat memilih Abu Bakar menjadi khalifah pertama, sedangkan Abu ‘Ubaidah menjadi penasihat dan pembantu utama khalifah. Setelah Abu Bakar, khalifah pindah ke Umar al-Khattab. Abu ‘Ubaidah sentiasa dekat dengan Umar dan tidak pernah membangkang perintah-perintah Umar kecuali sekali.
Periustiwa itu berlaku ketika Abu ‘Ubaidah memimpin tentera Muslimin menakluk wilayah Syam(Syria). Sementara itu, negeri Syam diserang penyakit berjangkit(Tha’un) yang membawa kepada kematian. Khalifah Umar dari Madinah sengaja berkunjung untuk menemui Abu ‘Ubaidah. Lalu Umar menulis surat pada Abu ‘Ubaidah.
“Saya sangat penting bertemu saudara. Tetapi saya tidak dapat bertemu saudara kerana wabak penyakit sedang berjangkit di dalam kota. Kerana itu, jika surat ini sampai di waktu malam, saya harap saudara segera berangkat bertemu saya di luar kota sebelum subuh. Dan jika surat ini sampai di siang hari, maka saya harap saudara berangkat di petang hari.”
Setelah surat itu dibaca Abu ‘Ubaidah berkata, “Saya tahu maksud Amirul Mukminin memanggil saya. Beliau ingin menyingkir saya dari penyakit berbahaya ini.”
Lalu beliau membalas surat Umar al Khattab, katanya’
“Ya Amirul Mukminin! Saya mengerti maksud anda memanggil saya. Saya berada di tengah-tengah tentera muslimin dan sedang bertugas memimpin mereka. Saya tidak akan meninggalkan mereka dalam bahaya yang mengancam hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.Saya tidak ingin berpisah dengan mereka sehingga Allah memberi putusan pada kami semua. Maka apabila surat ini sampai kepada anda, maafkanlah saya kerana tidak dapat memenuhi permintaan anda dan berilah izin pada saya untuk menetap tinggal bersama-sama mereka.”
Setelah Khalifah Umar membaca surat itu, beliau menangis sehingga air matanya meleleh ke pipi. Orang di samping beliau bertanya, “Ya Amirul Mukminin! Apakah Abu ‘Ubaidah telah wafat?”
Beliau menjawab, “Tidak tetapi dia berada di ambang kematian.”
Dugaan Khalifah Umar benar kerana tidak lama selepas itu, Abu ‘Ubaidah di serang wabak dan ruhnya yang suci berangkat ke rahmatullah.
Antara pengajaran yang saya peroleh ketika membaca sirah ini:
1) Keimanan yang sebenar akan dapat diterjemah ke dalam bentuk amalan.
2) Allah akan mendatangkan kekuatan dan pertolongan kepada orang yang beriman untuk melaksanakan sesuatu yang perit dan payah.
3) Kepatuhan kepada pemimpin yang bertakwa.
4) Melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.
Hakikatnya pengajaran di atas dapat direalitikan jika kita mempunyai keimanan yang mendalam yang bersarang di dalam diri kita. Kerana dengan keimanan setiap perkara yang dilakukan mempunyai arah matlamat yang jelas dan alasan yang kukuh atas sesuatu perkara walaupun ia menyakitkan. Seperti kisah di atas, Abu ‘Ubaidah mempunyai arah yang jelas dalam membunuh bapanya dan beliau mempunyai alasan utuh untuk terus bersama tentera di bawah pimpinan beliau. Apa yang pasti arah matlamat dan alasan itu adalah natijah dari keimanan beliau.
Kerana kita tanpa keimanan, laksana sehelai bulu yang diterbangkan oleh hembusan angin, yang tentunya tidak akan tetap pada sesuatu keadaan dan tidak mengetahui sesuatu arah tertentu. Kita tanpa keimanan juga laksana manusia yang tidak ada nilai dan akarnya, manusia yang bingung dan ragu-ragu yang tidak mengetahui hakikat dirinya dan rahsia wujudnya.
Moga sirah ini dapat kita hayati dan cuba kita praktikkan contoh-contoh keimanan yang yang terzahir ini dalam kehidupan kita. Segala yang benar hanyalah dari Allah dan segala kesilapan adalah dari diri yang hina dan cetek ilmu ini. Mohon diampunkan Allah atas perkara yang tidak benar.Tapi ambilah segala kebaikan yang terkandung dari tulisan ini.
Sumber tulisan :
1) Kepahlawanan Generasi Sahabat Rasulullah S.A.W
ABBDURRAHMAN RA’FAT BASYA
2) IMAN DAN KEHIDUPAN
DR YUSUF AL-QARDAWI
POSTED BY : ZAHRA
No comments:
Post a Comment