Menjadi kelaziman sebahagian orang Islam, apabila berakhir bulan Zulhijjah yang memberi erti bermulanya tahun baru Hijrah, mereka melakukan satu upacara doa yang dikenali dengan ‘Doa Awal dan Akhir Tahun’. Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali. Dan dikatakan fadilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.
Begitulah besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir tahun ini. Tidak hairan, ramai yang mempercayainya dengan harapan memperoleh kelebihan itu. Sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan di’amin’kan oleh jemaah.
Jika diteliti doa awal dan akhir tahun tersebut, diakui bahawa lafaz Arabnya sangat elok, susunan kata-katanya menarik, dan maksud kandungan doa juga tidak bersalahan dengan mana-mana prinsip syarak.
Tetapi, oleh kerana doa ini ditetapkan lafaz bacaannya, bilakah waktu dibaca, berapa kali bacaannya diulangi, dan apakah fadilatnya, maka upacara membaca doa ini adalah termasuk dalam bidaah. Kerana bacaan doa ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kitab hadis muktabar, tidak pernah dinukilkan amalannya di kalangan para sahabat, tabien dan para salaf, dan tidak disebut pun oleh imam-imam yang masyhur.
Sedangkan kita tahu doa adalah ibadah. Dan dimaklumi bahawa ibadah bersifat tauqifiyyah iaitu mesti diambil asal dan kaifiatnya daripada syarak. Tetapi, dalam persoalan doa awal dan akhir tahun ini, tidak didapati sebarang asas pun daripada nas-nas syarak.
Syeikh Bakr Abu Zaid -rahimahullah- menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu: Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa.
Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara yang disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia suatu yang masyruk. (Tashih Ad-Dua: 44)
Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, “Sikit-sikit bidaah, apa salahnya berdoa?”. Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah berdoa pada tarikh 29 Zulhijjah. Yang salahnya ialah menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada syarak. Ditambah pula dengan fadilat palsu tentang kata-kata syaitan begitu dan begini, dan jaminan pengampunan dosa selama setahun. Ini semua perkara ghaib yang mesti diambil daripada nas-nas sahih.
Ada juga mengatakan, “Perkara kecil seperti ini pun hendak diperbesar-besarkan?”. Jawapan kepada persoalan ini ialah kata-kata Imam al-Barbahari, “Dan awaslah kamu daripada perkara-perkara kecil yang diada-adakan, kerana bidaah-bidaah kecil akan berulang hingga ia menjadi besar”.
Ibn Taimiyyah pula mengatakan, “Bidaah-bidaah pada permulaannya hanya sejengkal. Kemudian ia bercambah di kalangan pengikut-pengikut, hingga menjadi beberapa hasta, beberapa batu dan beberapa farsakh“. (Satu farsakh bersamaan 3 batu).
Oleh itu, janganlah dipandang mudah terhadap perkara-perkara kecil yang menyalahi syariat, apatah lagi termasuk dalam bidaah. Dan yakinilah bahawa setiap amalan ibadah yang dilakukan, sedangkan ia bukan daripada agama, maka amalan itu ditolak oleh syarak. Wallahu A’lam.
nukilan : abu umair
No comments:
Post a Comment