
Iman setiap insan pasti ada pasang surutnya. Iman kita adalah iman seorang yang bergelar manusia biasa. Bukannya iman para malaikat ataupun rasul & nabi. Kita memang selamanya tidak akan sempurna. Seringkali khilaf dalam persinggahan sementara ini. Tapi kita perlu bangkit dari kelemahan dan kealpaan. Mencari semula arah kebenaran. Amat dikhuatiri apabila kita jatuh dan kita memilih untuk tidak bangun dan sebagai balasan atas pilihan kita, Allah s.w.t. menjauhkan kita dari hidayah-Nya. Bukannya Allah tidak memberi nikmat hidayah itu tapi pilihan kita mahu menolaknya. Maka menantilah di hadapan kita satu lembah yang hitam pekat tanpa sebarang cahaya. Na’uzubillahi min zalik.
Apabila iman kita dalam situasi menurun, kita selalunya akan diancam penyakit futur. Futur adalah satu penyakit yang menyerang aktivis dakwah yang menyebabkan golongan ini malas, menunda-nunda sehingga ada yang berhenti dari melakukan amal dakwah.
“Sesungguhnya bagi setiap amalan ada masa-masa rajin dan tiap-tiap masa rajin ada futur. Namun begitu barangsiapa yang futur menjurus pada sunnahku, beroleh petunjuk. Barangsiapa yang futur menyonsang dari sunnahku beroleh kesesatan”.
(Riwayat al-Bazzar)
FUTUR MENYERANG 3 GOLONGAN:
1) Golongan yang terputus lansung dari amal islami.(pendapat ulama’ golongan ini ramai)
2) Golongan yang berterusan dalam keadaan lemah. (ulama’ berpandangan golongan ini juga ramai)
3) Golongan yang futur menjadi kuat (sedikit)
TANDA FUTUR:
1) Melakukan maksiat beulang-ulang kali.
2) Merasakan kekerasan dan kebekuan hati.
3) Merasakan kesukaran untuk tekun beribadah.
4) Jiwa tidak tersentuh dengan ancaman Allah(ayat al-Quran)
5) Kurang rasa benci apabila melihat kemungkaran.
6) Kurang memberi perhatian pada urusan umat islam.
7) Cenderung memperbanyakkan perdebatan dan menjauhi urusan amal.
8) Mementingkan dunia dari akhirat.
9) Jauhkan diri dari bersahabat dengan org yang soleh.
Ana menyeru kepada sahibah-sahibah yang ana cintai kerana Allah. Marilah kita sama-sama muhasabah samaada penyakit ini sudah menjadi sebahagian pada kita atau tidak. Jika ya, marilah kita bangun dari duduk kita yang panjang dan mulakan kembali langkahan seorang pejuang. Kita tidak bersendirian, kita ada Allah untuk menguatkan kita. Kita ada sahabat untuk membantu kita.Cuma pilihan di tangan kita. Kita mahu kehidupan seperti apa? Penyakit ini ada ubatnya. Seperti ubat, jika kita mengikut aturannya, Insya-Allah Allah akan mengangkat penyakit itu daripada kita. Seperti penyakit lain, rawatannya juga perlukan kesabaran barulah keberhasilannya boleh kita nikmati di kemudian hari.
UBAT PENYAKIT FUTUR:
1) Tadabbur al-Quran
2) Mengingati mati.
3) Rasai keagungan Allah.
4) Menghayati kisah teladan salafussoleh
5) Mencari bi’ah solehah.
6) Memperbanyakkan amalan soleh.
7) Takut pada su’ul khatimah.
Akhir tinta, ana mohon keampunan pada Allah atas kekhilafan dalam berkongsi ilmu. Tajuk futur ini ana ambil dari pengisian dari Ustaz Muhtad di Dewan Utama Kolej Teknologi Darulnaim sewaktu Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja. Sama-samalah kita bermujahadah di persinggahan ini untuk mengutip hasilnya di negeri abadi.
(Mengimbau memori terindah di Kem Jati Diri, KTD & Pantai Bachok. Moga Allah rahmati kita)
POSTED BY : ZAHRA


